
Episod 3: Menjejak Jejak Kaki Institusi (Order Block)
Petang Rabu itu, hujan lebat membasahi bandar Labuan. Nazz duduk dalam ofis Master J dengan kening yang berkerut. Di hadapannya, komputer riba memaparkan carta EURUSD pada timeframe 4 Jam (H4). Di sebelah carta itu, buku log emosinya sudah mula terisi dengan beberapa baris nota. Nazz juga sempat merujuk satu posting dalam blog pullbackforex mengenai teknik Order block yang disarankan oleh Master J.
“Dah jumpa apa yang aku suruh cari?” tegur Master J yang baru sampai, sambil melabuhkan punggung dan meletakkan payungnya yang basah di tepi meja.
Nazz menggaru kepala. “Saya dah cuba tengok, Master. Tapi peninglah. Kat mana-mana pun ada candlestick menaik dan menurun. Macam mana kita nak tahu candlestick yang mana satu sebenarnya Order Block tempat bank besar sorok order mereka?”
Master J tersenyum. Beliau menarik komputer riba Nazz rapat ke arahnya.
“Nazz, pasaran ini bergerak atas satu sebab: Kecairan (Liquidity). Bank-bank besar tak trade macam retail. Mereka tak boleh terus tekan butang Buy atau Sell bernilai berbilion dolar di sebarangan tempat sebab pasaran takkan cukup kontrak untuk padankan order mereka. Jadi, apa yang mereka buat?”
Master J menunjuk pada satu kawasan di carta di mana pasaran membuat penurunan yang drastik selepas satu candlestick menaik yang terakhir.
“Sebelum institusi besar mahu menolak harga jatuh ke bawah dengan agresif, mereka akan sengaja memanipulasi pasaran dengan memandu harga naik ke atas terlebih dahulu untuk memancing retail trader membuat jualan awal. Candlestick menaik yang terakhir sebelum berlakunya kejatuhan besar tulah yang kita panggil Bearish Order Block.”
Nazz mengecilkan matanya, meneliti skrin. “Ooh… maksudnya, candlestick menaik terakhir itu adalah tempat di mana institusi sebenarnya tengah buka posisi jualan (Sell) mereka?”

“Tepat,” Master J mengangguk. “Dan apabila harga terjun dengan laju, institusi meninggalkan order yang belum selesai (unmitigated orders) di zon candlestick tersebut. Tugas kita sebagai trader mekanikal bukannya mengejar harga yang tengah terjun tu. Tugas kita ialah tandakan zon candlestick itu dengan kotak, dan sabar menunggu harga berpusing balik (retract) masuk semula ke dalam kotak itu. Proses itu kita panggil Mitigation.”
“Bila harga masuk balik(retest naik semula), baru kita panggil ia Entry Zone?” soal Nazz, mula nampak logik di sebalik visual carta tersebut.
“Ya. Di situlah kita pasang jerat kita. Risiko kita kecil sebab kita letak Stop Loss (SL) betul-betul di atas kotak Order Block tersebut, manakala sasaran Take Profit (TP) kita letak jauh di bawah, mengikut struktur pasaran yang besar. Jelas?”
Belum sempat Nazz menjawab, pintu ofis ditolak kasar. Abang Man melangkah masuk dengan rambut yang agak basah terkena hujan. Namun, apa yang menarik perhatian Nazz bukan rambutnya, tetapi wajah Abang Man yang pucat lesi dan matanya yang merah.
Beliau menarik kerusi dengan kasar dan terus duduk. Tangannya menggigil sedikit semasa memegang telefon pintar.
“Man, kau okey tak ni?” tanya Master J, nadanya bertukar prihatin melihat keadaan rakannya itu.
Abang Man melepaskan keluhan yang sangat berat. “Habis, Master… Licin lagi. Akaun USD 500 yang aku deposit isnin lepas, pagi tadi burn terus.”
Nazz terkejut. “Eh? Bukan sebelum ni Abang Man cakap dah untung USD 100 ke sebelum ini?”
“Itulah silap aku,” Abang Man meraut wajahnya, suaranya kedengaran serak dan penuh kekesalan. “Malam tadi aku entry buy Gold. Aku yakin dia nak naik sebab ada minor SNR kat situ. Sekali news keluar, dia tembus SL aku. Aku geram. Aku rasa pasaran sengaja nak kenakan aku. Jadi, aku tak pasang SL lagi, aku layer saiz lot gajah dengan harapan harga akan pusing balik.”

Master J mengeluh perlahan. Beliau sudah masak sangat dengan perangai Abang Man.
“Kau buat Revenge Trading, Man. Kau trade dengan dendam. Bila pasaran tak ikut cakap kau, kau rasa ego kau tercalar, lalu kau nak lawan pasaran dengan besarkan lot.”
“Aku tak tahan, Master. Aku cuma nak dapatkan balik USD 50 yang aku rugi mula-mula tadi. Tapi makin aku lawan, makin besar floating loss aku sampailah jadi Margin Call. Sumpah, aku benci tengok candlestick warna merah malam tadi. Rasa macam nak baling fon ni,” kata Abang Man, emosinya masih tidak stabil.
Master J memandang Abang Man, kemudian memandang Nazz.
“Nazz, tengok apa yang jadi pada si Abang Man ni. Ini adalah pengajaran paling mahal yang kau takkan dapat dalam mana-mana buku teks. Abang Man kalah bukan sebab teknik dia salah malam tadi. Dia kalah sebab dia tak ada sistem yang mekanikal. Bila emosi dendam dah kuasai diri, akal logik terus hilang. Dia biarkan satu kerugian kecil USD 50 menghancurkan keseluruhan modal USD 500 dia.”
Master J mengambil buku log Nazz dan menyelak ke halaman baru.
“Man, kalau kau nak terus berjudi, silakan. Tapi kalau kau nak selamatkan duit kau, kau duduk sebelah Nazz, belajar macam mana nak tanda Order Block pada timeframe besar dan patuhi pelan trading. Pasaran Forex tak pernah peduli pasal ego kita, Man. Dia akan makan orang yang tamak dan beremosi.”
Abang Man terdiam lama. Dia memandang skrin komputer riba Nazz yang memaparkan zon kotak Order Block yang kemas dan bersih—satu visual yang sangat berbeza dengan paparan skrin telefonnya yang dipenuhi garisan merah kerugian. Untuk pertama kalinya, Abang Man tidak membidas kata-kata Master J. Dia menarik kerusinya rapat ke arah Nazz, mula mahu melihat carta dengan cara yang betul.
Nazz pula menarik nafas dalam-dalam. Di dalam buku lognya, dia menulis satu lagi baris ayat penting:
Institusi besar meninggalkan jejak melalui Order Block. Tugas saya adalah menunggu di situ dengan sabar, bukannya mengejar harga bersama emosi dendam.
Bersambung ke Episod 4…
Adakah Abang Man benar-benar sudah insaf dan mahu belajar teknik Order Block bersama Nazz? ..atau sebenarnya masih sama dengan sebelumnya? Ikuti episod terakhir minggu hadapan, jam 8pm Jumaat!
Penafian: Semua karakter dalam cerita ini adalah fiksyen dan hanyalah rekaan admin semata-mata dan tiada kena-mengena dengan sesiapa. Jika ada, ia hanyalah kebetulan sahaja.

