
Delusi Seorang Trader
Dalam dunia dagangan kewangan, ramai individu memasuki pasaran dengan harapan yang tinggi, namun tidak sedikit yang akhirnya terperangkap dalam pelbagai bentuk delusi — kepercayaan yang tidak berasaskan realiti, tetapi dibentuk oleh impian, ketamakan dan kurangnya pemahaman terhadap hakikat sebenar dunia trading.
Artikel ini akan mengupas beberapa bentuk delusi utama yang sering dihadapi oleh para trader, khususnya golongan baru, dan bagaimana delusi ini boleh membawa kepada kegagalan jika tidak disedari dan diperbetulkan.
1. Delusi Profit Konsisten Tanpa Asas Ilmu & Pengalaman
Salah satu tanggapan salah yang paling lazim ialah kepercayaan bahawa seseorang boleh mencapai keuntungan konsisten tanpa ilmu yang kukuh serta pengalaman untung rugi. Ada yang mengandaikan bahawa:
- Mengikuti signal group sudah memadai.
- Menggunakan indikator tertentu adalah jalan pintas kepada kekayaan.
- Tonton beberapa video YouTube sudah cukup untuk “mahir”.
- Tak perlu buang masa buat latihan di demo atau akaun kecil.
Hakikatnya, pasaran kewangan sangat kompleks dan tidak boleh dijinakkan hanya dengan sedikit ilmu. Tanpa pemahaman mendalam tentang analisis teknikal, fundamental, kawalan risiko dan psikologi dagangan, seseorang itu hanya membuat keputusan secara rawak — hampir sama seperti berjudi. Berani mengaku tak?
2. Delusi Mahu Cepat Kaya
Ramai trader memulakan perjalanan dengan harapan untuk menggandakan akaun kecil dalam masa yang singkat. Mereka cenderung menggunakan leverage tinggi, lot yang terlalu besar, dan tidak menetapkan stop loss. Semua ini dilakukan atas dasar “keyakinan” yang sebenarnya tidak disandarkan pada statistik atau kebarangkalian sebenar.
Ketamakan yang tidak terkawal akhirnya membawa kepada ‘margin call’ akaun.
Pasaran tidak memberi ganjaran kepada mereka yang terburu-buru, sebaliknya menghargai kesabaran dan strategi jangka panjang yang berdisiplin.
Dalam trading, anda ‘dibayar’ untuk sabar dan berdisiplin!
3. Delusi Dagangan Tanpa Kerugian(everyday win, kononlah..)
Ramai yang menganggap kerugian adalah satu bentuk kegagalan mutlak. Ada yang mengubah strategi setiap kali berlaku kerugian kecil, seolah-olah mencari “holy grail” yang kononnya tidak pernah rugi.
Realitinya, tiada strategi yang bebas daripada kerugian. Bahkan trader profesional yang berjaya sekalipun tetap mengalami kerugian — tetapi mereka tahu bagaimana menguruskannya.
Kejayaan sebenar dalam dagangan bukan pada seberapa banyak anda menang, tetapi bagaimana anda mengurus kerugian dan mengekalkan kestabilan jangka panjang.
Perlu ingat, trading system yang ada 99% win pun masih ada 1% loss. Tapi wujudkah jika 100% win no loss?? Mungkin, tapi menggunakan system canggih seperti High Frequency Trading yang mungkin mencecah puluhan ribu dollar kosnya. Malangnya akaun sendiri pun sekadar 10 dollar, tu pun sudah takut dikacau BNM kalau buat withdrawal nanti.
4. Delusi Tanpa Perancangan dan Pengurusan
Tanpa pelan dagangan yang jelas, target tahunan, jurnal dagangan dan pengurusan risiko yang teratur, ramai trader bergantung pada “feeling” atau gerak hati semata-mata. Ini membuka ruang kepada kesilapan yang berulang dan keputusan yang tidak konsisten.
Trading memerlukan disiplin seperti sebuah perniagaan. Tanpa struktur dan rekod, mustahil untuk menilai prestasi dan membuat penambahbaikan berasaskan data.
Penutup: Bangkit Daripada Delusi
Delusi dalam dagangan boleh menjadi racun yang membunuh secara perlahan — ia bermula dengan keyakinan yang salah, dan berakhir dengan kerugian yang besar. Namun, setiap delusi boleh diperbetulkan apabila seorang trader mula menyedari kesilapan dan mengambil langkah untuk membina asas yang kukuh.
Trading bukan tentang menjadi kaya dalam sehari. Ia adalah tentang membina kemahiran, mengurus risiko, dan bertahan dalam jangka masa panjang dengan disiplin.
Langkah pertama untuk menjadi trader yang berjaya adalah dengan menyedari delusi sendiri dan bangkit daripadanya.
ADMIN
03/06/25
p/s: adakah antara penghidap penyakit delusi ini??? Jom keluar dari zon ini sekarang!