ASJ FOREX GLOBAL SCAM BUATAN HONG KONG
ASJ FOREX GLOBAL dengan domain website, asjfx.co yang kini sudah tidak dapat diakses telah menyebabkan kerugian besar untuk pelabur dan juga trader yang menggunakan broker ini.
Antara masalah utamanya adalah, tak lain tak bukan, masalah withdrawal. Ada yang mendakwa broker ini menjalankan skim pelaburan dengan pulangan tertentu.
Ramai tertipu?
Hasil carian dan tinjauan saya di laman sosial facebook, ramai mangsa skim ini dari Malaysia dan Filipina. Ramai yang telah kerugian, marah serta tak kurang juga yang nampak masih tak faham yang mereka telah ditipu.
Dalam artikel kali ini saya akan merungkai sedikit informasi mengenai ASJ ini dan semoga dapat membantu para pembaca blog pullback untuk lebih peka di masa akan datang dan seterusnay mengelakkan diri dari terlibat dan terjerumus dalam skim penipuan ini.
Dapatkan update lebih cepat dan pantas melalui telegram kami.
Blacklist
Hasil carian di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, saya mendapati ia telah disenarai-hitam pada bulan Mei lalu.
ASJ FOREX GLOBAL juga disenarai hitam oleh kerajaan Filipina pada 23 ogos 2022 lepas.
Menurut website S.E.C. kerajaan Filipina, ASJ FOREX GLOBAL LIMITED menawarkan pelaburan serendah $30 dollar dengan purata keuntungan 8% hingga 20% sehari dan juga 4%, 8% dan 16% hasil dari komisyen membawa masuk pelabur baru. Perkhidmatan perdagangan juga dibuat pada platform MT5.
Sebenarnya jika anda fahami betul-betul, apabila sesuatu pelaburan itu menawarkan pulangan yang tinggi dan tak masuk akal, ditambah lagi dengan komisyen melalui mengajak pelabur baru, ini adalah tanda-tanda kukuh yang ianya adalah skim pelaburan piramid ponzi.
Melalui skim seperti ini, pelabur lama akan dibayar melalui duit pelabur baru. Masalah dari sistem ini adalah apabila tiada lagi pelabur baru, maka skim piramid ini akan runtuh.
Tapi ada yang jana wang? Macamna tu?
Seperti yang saya tuliskan di atas, ia adalah skim ponzi di mana pelabur lama akan dibayar menggunakan wang pelabur baharu. Ini memungkinkan untuk mana-mana individu terawal yang menyertai skim ini akan menjana wang termasuklah menjadi jutawan mudah. Mereka akan menikmati hasil keuntungan dengan mudah tetapi tidak pada pelabur yang sudah terlambat.
Di sebabkan ini adalah skim pelaburan yang membolehkan anda mengakses ruangan member dan melihat keuntungan, maka secara maya-nya anda boleh lihat hasil pelaburan dan usaha anda merekrut ahli baru namun yang pastinya tiada sebarang keuntungan yang boleh dikeluarkan.
Sumber foto : facebook
Walaupun keuntungan nampak banyak, tetapi apa gunanya jika tidak dapat dikeluarkan?
Merekrut pelabur baru A.K.A Head Hunting
Dalam carian maklumat mengenai ASJ FOREX GLOBAL ni, terjumpa pula satu posting dalam group fb ASJ ni. Berikut screenshot yang saya ambil.
Broker scam tidak akan membayar withdrawal anda walau satu sen sekali pun. Kesian melihat ramai pelabur yang masih berharap untuk dapat pulangan tapi harapan tinggal harapan sahaja.
Berdasarkan posting panjang lebar di atas saya dapati adanya jenis-jenis akaun lain untuk hasil pulangan lebih lumayan seperti akaun VIP. Terdapat juga istilah upline, dan sudah tentulah akan adanya downline pula.
Apabila ia sudah menjadi seperti ini, sah-sahlah ini skim piramid head hunting untuk keuntungan mudah kepada pelabur-pelabur dalam skim ini termasuklah kepada pelabur yang duduk diam tunggu duit sahaja.
Ini baru sedikit, sebenarnya ada banyak lagi cuma terlalu banyak untuk dimuatkan dalam posting ini.
Siapa di sebalik skim ASJ FOREX GLOBAL LIMITED ini?
Untuk tahu adakah ia scam atau tak, sebelum anda buat keputusan melabur atau menyerahkan wang anda, adalah penting untuk tahu dahulu siapa di sebalik skim tersebut.
Berdasarkan maklumat dari scamrecovery.net:
ASJ Forex Global ialah broker dagangan dalam talian yang dimiliki oleh ASJ Global Limited dan terletak di Bilik 4,16th Floor. Pusat Komersial Ho King, 2-16 Fa Yuen Street,Mong kok, Kowloon, Hong Kong.
Mereka boleh dihubungi melalui e-mel di market@asjfx.co. Tiada nombor telefon disediakan.
Laman web mereka boleh didapati di : asjfx.co
Nampaknya halaman website sudah tidak wujud lagi. Okeylah, jom semak melalui internet archive untuk lihat website asal.
Malang sekali untuk mereka yang menjadi mangsa broker ini. Dari desain website nampak ia seakan website copy-paste yang langsung tidak nampak professional, tergesa-gesa dan nampak macam tak siap lagi.
Jom siasat lebih dalam lagi..
Maklumat dari WHOIS:
Note: Maklumat di atas diambil dari facebook kerana malumat terkini di Who.is kini sudah diubah kepada private dan sudah tidak dapat dilihat lagi.
Maklumat dari suite.endole.co.uk:
Terdapat dua nama yang muncul dan berkait dengan broker ASJ Forex Global Limited ini iaitu Mr. Xinglong Pan sebagai director dan juga Yunma Tianglong International Consulting Co. Limted sebagai secretary.
Tidak banyak maklumat yang boleh dicari dari director ini tapi terdapat sedikit informasi yang mengejutkan mengenai Yunma Tianglong International ini.
Li Wen Zhang merupakan individu disebalik Yunma Tianglong ini.
Anda boleh ke pautan berikut untuk posting di atas >> https://www.forexpeacearmy.com/community/threads/yunma-tianlong-scam-director-exposed-mkj-global-east-century-ethbtcforex-allbright-aglance-and-several-others.69958/
Tidak menghairankan jika sesuatu syarikat itu pernah terlibat dengan scam sebelum ini dan akan membuat scam lagi di masa akan datang. Yang menjadi hairan adalah jika anda tahu ia scam tapi masih mahu mencuba nasib. Dalam hal ini mungkin anda tidak tahu tetapi di masa akan datang, siasatlah dahulu siapa di sebalik skim pelaburan tersebut dan pastikan pisang tidak berbuah dua kali. Janganlah kabur mata hanya sebab ada orang lain yang beruntung tapi tak bermakna anda juga bertuah seperti mereka.
Ingatlah, skim pelaburan seperti ini adalah haram dan tidak memberi faedah.
J.P. Morgan Chase melabur di ASJ Forex Global?
Antara alasan penggantungan pengeluaran wang oleh ASJ ini kononnya untuk memuktamadkan pelaburan strategik oleh JP Morgan bersama mereka. Namun hal ini dinafikan oleh pihak J.P. Morgan sendiri melalui twitter mereka.
Alasan demi alasan adalah cara popular scammer pelaburan untuk mengelak dari membayar wang pelabur.
Tips Selamatkan Diri Dari Terjebak Scam
Sebelum anda membuat keputusan untuk menjebakkan diri ke dalam kancah pelaburan, sila buat kajian dahulu. Berikut berberapa kajian yang anda boleh buat sendiri, antaranya;
- Perhatikan adakah ia skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan 4D(duduk diam dapat duit).
- Perhatikan jika dalam skim tersebut terdapatnya tajaan atau head hunting. Cari orang atau ajak orang baru dan dapat komisyen adalah tanda-tanda skim pelaburan itu berteraskan piramid di mana pelabur baru adalah pembayar keuntungan pelabur lama.
- Pulangan keuntungan tak masuk akal secara harian dan bulanan – inilah pancingan yang paling ampuh kerana ia akan membuatkan anda berasa anda sempat dapat pulangan awal andaikata ia skim tipu. Anda akan rasa lebih mudah menyerahkan wang anda.
- Jika anda hanya dihidangkan dengan cerita keuntungan dan testimoni untung sahaja, carilah maklumat alamat dan lesen broker dahulu. Jika tiada atau meragukan, itu adalah red flag pertama anda bahawa skim ini bakal runtuh nanti.
- Jika semua di atas ada pada skim tersebut, silalah buat carian maklumat tempoh sah website di who.is di mana scam broker biasanya akan tetapkan tempoh sah website yang singkat seperti 1-2 tahun. Ini mungkin ada perancangan untuk cabut lari dan tutup website nanti.
- Cari siapa disebalik broker tersebut dan jika identiti samar-samar atau lebih teruk pernah ada rekod saman dan terlibat dengan skim penipuan.
Cara skim ini merebak dan membiak
Menjanjikan pulangan tinggi sahaja tidak memadai, oleh itu marketing akan dibuat lebih agressif oleh penganjur skim seperti sponsorship terhadap aktiviti amal, mahupun akan bergerak lebih aktif melalui perjumpaan ahli sesama ahli. Ini akan meyakinkan lagi ‘kebenaran’ skim ini dan tak mungkin ia tipu.
Anda akan lihat ramai orang yang akan posting keuntungan dan pengeluaran keuntungan hampir setiap hari. Influencer akan bercakap mengenainya di instagram dan facebook. Anda juga mungkin akan di-add masuk ke group fb, whatsapp dan telegram khas untuk skim ini di mana dalamnya mungkin membincangkan bagaimana untuk kembangkan network anda dan seterusnya lebih giat lagi membuat head hunting. Kata-kata toxic motivasi mungkin akan jadi santapan harian anda.
Tanda-tanda skim ini bakal runtuh
Part ini yang paling best bagi pengkritik dan paling pedih buat pelabur. Part yang best adalah apabila melihat lebih ramai yang dulunya kaki temberang mula lesap dari laman sosial dan menjadi bahan lawak dan kutukan kemarahan orang.
Part paling pedih, sedih dan melemaskan adalah apabila pelabur yang bingung ditinggalkan terpinga-pinga macamna nak ambil balik wang, buat withdraw dan bingung dengan profit yang ada tapi malangnya tak dapat dikeluarkan.
- Tanda #1 – Withdrawal mula sangkut
- Tanda #2 – Alasan demi alasan akan diberikan penganjur/broker
- Tanda #3 – Website akan mula hilang dari radar
- Tanda #4 – Upline hilangkan diri dan moveon dengan hidup baru
- Tanda #5 – Ramai orang mengeluh dan marah di laman sosial
Saya tak akan huraikan 5 poin di atas sebaliknya saya serahkan kepada anda untuk nilaikan sendiri. Common’ lah, dah 2022 ni takkan masih nak cari makan guna skim-skim sampah macam ni?
Akhir kata
Saya dah taip panjang lebar dalam artikel ini. Sekarang terpulang anda untuk pilih dan buat keputusan anda. Janganlah mudah terpengaruh hanya sebab ada rakan atau keluarga anda membuat untung, itu tidak bermakna anda juga akan bernasib baik seperti itu. Anda mungkin menjadi sebahagian dari masalah skim ini dan bakal menyusahkan lebih ramai orang.
Oleh itu, elakanlah ia dan jauhilah ia.
ADMIN
10/09/22
SUMBER: FB, Google Images