BAGAIMANA UNTUK LINGKUP DALAM PERDAGANGAN FOREX DALAM MASA SINGKAT
Yup. Anda bacanya dengan tepat. Artikel kali ini bukannya untuk mengajarkan anda untuk menjadi pedagang berjaya tetapi sebaliknya -menjadi seorang yang gagal dan kerugian hingga melingkup dan kehabisan semua wang simpanan!
Mahu kehilangan wang dalam dagangan forex tanpa mengeluarkan peluh? Mudah sekali! Bayangkan sahaja platform dagangan anda adalah sebuah mesin judi kasino, dan anda adalah pemain yang hebat yang membuat pertaruhan melulu tanpa sebarang strategi. Tonton carta itu seperti seekor helang kelaparan, dan berjaga beberapa malam tanpa tidur dan bercawan-cawan kopi tongkat Ali over-dose hingga mata menjadi mata beruang Panda comel.
Dapatkan update lebih cepat dan pantas melalui telegram kami.
Lebih baik lagi, jangan risau sama sekali dengan carta; buat keputusan berdasarkan rasa-rasa anda mahu masuk dengan harapan jadi kaya esok. Lupakan tentang pengurusan risiko dan disiplin – itu adalah untuk si pemenang! Jadi teruskan kerjaya anda seperti seorang penjudi professional seperti budak rempit BBNU(budak baru nak up) yang meluncur laju di jalan raya, artikel ini saya dedikasikan buat anda yang sudah bertahun-tahun menjadi ‘mat depo tegar’ dan bagi anda newbie yang bercadang mahu mengikut jejak langkah mat depo ini.
Cara Konsisten Kehilangan Wang dalam Dagangan Forex
Adakah anda bosan mempunyai baki akaun bank yang sihat? Adakah anda mengimpikan ketidakstabilan kewangan? Nah, anda sangat bertuah! Ucapkan selamat tinggal kepada keselamatan kewangan anda dan terimalah rollercoaster kewangan anda yang tidak dapat diramalkan. Langkah pertama: Jangan sekali-kali peduli dengan strategi perdagangan. Langkah kedua; masuklah pasaran ikut emosi gembira anda dan masuklah lot besar untuk balas dendam kerugian lalu anda.
Siapalah yang perlukan pelan trading apabila anda hanya boleh mengklik butang secara rawak dan melihat dana anda menyusut? Ingat, lebih melulu tindakan anda, lebih baik!
TIADA MODAL? Jangan risau. Pinjamlah Wang!
Perlukan keseronokan tambahan dalam perjalanan dagangan forex anda? Pinjamlah wang daripada dana persaraan nenek anda, atau simpanan kecemasan pakcik anda, atau simpanan kawan-kawan facebook atau tiktok anda. Mengapa mengehadkan diri anda kepada wang tunai hasil titik peluh anda sendiri sedangkan anda boleh menggunakan wang orang lain untuk dagangan anda? Lagipun, siapa yang perlu bimbang tentang pembayaran balik apabila anda sibuk kehilangan semuanya pada perdagangan yang tidak difikirkan dengan baik? Ia seperti perlumbaan lari berganti-ganti kewangan, memindahkan kerugian dari satu poket ke poket yang lain dengan pantas dan berkesan.
Anda kerugian wang? Jangan risau. Buka semula laman sosial anda dan mula cari lagi mangsa baru untuk meminjam wang yang seterusnya pula.
Bagaimana untuk kehilangan wang Lebih cepat
Tidak sabar dan mahu melihat wang simpanan anda hilang dalam sekelip mata? Kami akan membantu anda! Gunakanlah leverage maksima dan trade-lah entry berlapis-lapis sehingga chart anda penuh. Jika floating dan pasaran bergerak berlawan arah dari matlamat anda, tambah lagi entry anda. Jika margin tak cukup, tambah lagi modal anda!
Anda akan kagum melihat betapa pantas baki akaun anda menghampiri sifar apabila market semakin reversal. Untuk kesan lebih kaw-kaw, trade-lah semasa news release dan masuklah lot yang lebih besar macam dinosaur. Anda akan dapat melihat baki anda jatuh ke sifar lebih pantas dari mata anda berkelip.
Akhir kata
Kesimpulannya, untuk rugi dan melingkup ia sangatlah mudah. Anda salah seorang dari artikel yang saya tuliskan diatas? Tahniah. Lepas ni berubahlah. ha ha ha..!
ADMIN
25/09/23