
Episod 1: Margin Call
Bunyi ombak yang memukul pesisir pelabuhan Labuan selalunya menenangkan, tetapi tidak bagi Nazz pagi ini. Bunyi itu tenggelam dalam fikiran Nazz. Di atas meja kedai kopi, skrin telefon pintar Nazz memaparkan baki akaun 0.00.
Akaunnya licin. Kosong.
“Terkena lagi…” Nazz meraut wajahnya dengan kasar. Rasa menyesal, marah, dan kecewa bercampur-baur. Baru malam tadi dia berjanji pada diri sendiri untuk tidak entry sebarangan. Tetapi sebaik sahaja melihat satu candlestick besar memecut naik, tangannya mula gatal. Dia takut tertinggal bas. Dia FOMO.
“Haa, Nazz! Termenung jauh nampak? Amacam NFP malam tadi? ada harapan ke?”
Satu suara lantang memecah lamunan Nazz. Abang Man datang membawa segelas teh tarik lalu duduk di kerusi bertentangan. Di tangannya, sebatang rokok belum dinyalakan.
Nazz tersenyum tawar. “Gagal, Bang Man. Akaun saya kena sapu bersih malam tadi. Habis MC..”
“Lah, ye ke?” Abang Man ketawa kecil, langsung tidak nampak terkesan. “Itulah kau, penakut sangat letak Stop Loss (SL). Aku malam tadi layer kaw-kaw masa candlestick tengah pacak tu. Profit 300%! Tapi…” Abang Man berdehem, suaranya merendah sedikit. “…subuh tadi pasaran pusing balik, sangkut pulak akaun satu lagi. Tapi tak apa, lumrah trading lah tu! Kejap lagi aku deposit baru, kita bantai balik.”
Nazz sekadar mengangguk. Di dalam hati, dia mula sangsi. Abang Man selalu cerita pasal profit beratus peratus, tetapi kenapa setiap minggu Abang Man mengeluh kena deposit duit baru?
“Balas dendam pada pasaran adalah jalan paling cepat untuk serah diri pada jerung besar dalam market, Man.”
Satu suara yang tenang tetapi tegas menyapa mereka dari arah belakang. Master J berjalan menghampiri meja dengan memegang sebuah buku nota kecil dan sebuah iPad. Beliau duduk di sebelah Nazz. Wajahnya bersih, langsung tidak menampakkan riak wajah seorang lelaki yang baru sahaja menghadap kegilaan pasaran malam tadi.
“Eh, Master J. Malam tadi pasaran gerak laju, Master tak masuk meriahkan suasana ke?” usik Abang Man.
Master J tersenyum nipis. Beliau membuka iPad miliknya dan meletakkannya di tengah-mesyuarat meja. Skrin memaparkan carta TradingView yang sangat bersih. Tiada indikator berwarna-warni. Hanya ada beberapa zon kotak kelabu yang dilukis dengan kemas pada timeframe Daily dan Weekly.

“Aku masuk, Man. Satu entry sahaja. Dan posisi itu masih berjalan (running profit) sekarang,” kata Master J tenang.
Nazz mengecilkan matanya, melihat carta pada iPad Master J. “Eh, Master… Master entry kat bawah ni? Tapi malam tadi masa news keluar, pasaran memecut naik ke atas. Kenapa Master tak kejar candlestick yang tengah hijau tu?”
Master J memandang Nazz dengan pandangan seorang mentor.
“Nazz, apa yang kau nampak malam tadi pada minor timeframe, katakan di M5 atau M15, adalah candlestick yang bergerak laju memecah garisan Minor Support & Resistance (SNR). Betul?”
Nazz mengangguk laju. “Ya! Saya nampak dia tembus minor SNR tu, saya ingatkan dia nak terus terbang. Jadi saya pun Buy.”
“Itulah silapnya,” Master J mengetuk skrin iPad dengan jarinya. “Kau trade ikut emosi. Kau nampak candlestick bergerak laju, emosi kau jadi gelisah sebab takut tertinggal. Hakikatnya, pergerakan laju malam tadi hanyalah ‘umpan’ daripada institusi besar. Mereka sengaja gerakkan harga secara agresif untuk menarik retail trader seperti kau dan Abang Man supaya melompat masuk.”
Master J menukar paparan carta ke timeframe Daily.
“Lihat di sini. Secara keseluruhannya, trend besar masih menurun. Kawasan yang kau Buy semalam sebenarnya adalah kawasan Liquidity—tempat di mana bank-bank besar sedang mengumpul order untuk melakukan jualan (Sell). Candlestick yang memecut naik itu bukan nak pergi bulan, dia cuma datang mengambil bekalan sebelum terjun.”

Nazz tergamam. Dia melihat cartanya sendiri. Memang benar, garisan SNR yang dia lukis semalam nampak sangat kerdil dan tidak bermakna di hadapan carta Daily Master J.
“Jadi, macam mana Master tahu bila waktu yang betul untuk masuk?” tanya Nazz, mula berminat.
“Sabar,” jawab Master J sepatah. “Trading ini adalah bisnes, Nazz. Bukan tempat berjudi nasib. Seorang pemilik bisnes yang bijak tidak akan membeli barang pada harga yang mahal. Kita ada peraturan yang mekanikal. Kita guna High Timeframe Bias untuk tahu arah, dan kita guna Fibonacci Retracement secara objektif untuk cari zon diskaun yang berkualiti. Jika pasaran tak masuk ke zon kita, kita jangan sentuh. Biar pasaran datang kepada kita, bukan kita kejar pasaran.”
Master J mengeluarkan buku nota kecilnya dan menghulurkannya kepada Nazz.
“Tugas kau hari ini bukan deposit duit baru macam Abang Man. Tugas kau adalah buka balik carta malam tadi. Tulis balik apa emosi kau masa kau tekan butang Buy tu. Jejak tindakan emosi kau sendiri. Selagi kau tak tahu kenapa kau kalah dengan emosi sendiri, kau bagi modal satu juta ringgit pun akan habis disapu pasaran.”
Abang Man di sebelah sudah mula sibuk membelek telefonnya, mungkin sedang mencari pautan untuk deposit semula. Namun bagi Nazz, kata-kata Master J bagaikan satu tamparan yang mengejutkannya daripada mimpi ngeri. Dia sedar, jika dia mahu kekal dalam bidang ini, cara berfikirnya mesti berubah.
Bersambung ke Episod 2…
Bagaimanakah Nazz mahu menjejaki emosinya sendiri melalui jurnal? Dan apakah rahsia ‘Zon Diskaun’ yang dimaksudkan oleh Master J? Jangan lupa ikuti episod seterusnya minggu hadapan, Jumaat 8pm!
Penafian: Semua karakter adalah fiksyen semata-mata dan cerita ini hanya rekaan admin dan tiada kena-mengena dengan sesiapa. Jika ada, ia hanyalah kebetulan semata-mata.




