
Episod 4 (Akhir): Realiti Gelap
Tiga minggu berlalu sejak insiden hitam yang menyaksikan akaun Abang Man yang musnah sekelip-mata. Suasana di pagi itu kelihatan sedikit berbeza. Tiada lagi bunyi hilai tawa Abang Man yang menunjuk-nunjuk profit lot gajahnya. Beliau hanya duduk diam di penjuru meja, merenung cangkir kopinya yang sudah sejuk dengan wajah yang penuh penyesalan.
Di sebelahnya, Nazz sedang meneliti skrin komputer riba. Wajah Nazz tersangat tenang. Tiada lagi riak cemas atau dahi berpeluh seperti sebulan yang lalu. Kemeja putihnya yang dipakai hari itu kelihatan sangat kemas, mencerminkan mindanya yang kini kelihatan semakin teratur dan matang.
“Macam mana kedudukan floating EURUSD kau, Nazz?” tanya Master J yang baru melangkah masuk lalu mengambil tempat di kepala meja.
Nazz memalingkan skrin komputer ribanya kepada Master J dan Abang Man. Di atas skrin, kelihatan satu carta yang sangat bersih. Kotak Order Block pada timeframe H4 yang ditandanya minggu lepas telah pun disentuh oleh pasaran dengan tepat. Harga kemudian memecut naik dengan padu, meninggalkan zon risiko.

“Sekarang harga dah bergerak naik sejauh 45 pips dari zon entry saya, Master. Mengikut formula Nisbah 1:3 yang Master ajar, sasaran TP saya adalah 90 pips. Tinggal lagi 45 pips sahaja sebelum terkena Take Profit,” jawab Nazz dengan nada suara yang mendatar. Tiada nada teruja yang berlebihan, tiada juga nada ketakutan.
Abang Man menjenguk kepala melihat skrin Nazz. Matanya mengecil. “Eh, Nazz! Tu pasaran tengah buat candlestick merah laju turun ke bawah tu! Kau tak takut ke dia pusing balik makan SL kau? Baik kau close manual sekarang, ambil sahaja apa yang ada! USD +45 pun duit juga!” Abang Man mula diserang penyakit lamanya—panik melihat pergerakan kecil pasaran.
Nazz tersenyum nipis, menggelengkan kepala dengan tenang.
“Tak apa, Abang Man. Saya dah setkan pelan mekanikal saya sejak awal. Sama ada dia pergi hit TP dapat USD +90, atau dia patah balik hit SL saya dan saya cuma rugi USD -30. Keputusannya berada di tangan pasaran, bukan di tangan emosi saya lagi. Saya tak perlu tengok skrin setiap minit.”
Master J tersenyum bangga, menyandarkan badannya ke kerusi kayu. “Kau tengok tu, Man. Itulah perbezaan antara seorang Trader Profesional dengan seorang Penjudi Runcit. Nazz tahu institusi sedang memburu kecairan, dan dia hanya percaya kepada statistik kebarangkalian matematikal sistemnya. Bila trade dipandu peraturan, emosi automatik mati.”
Abang Man tersandar layu. Egonya akhirnya runtuh sepenuhnya di hadapan mereka. Dia mengimbas kembali semua akaunnya yang telah hangus ribuan dolar akibat tabiat FOMO dan revenge trading.
“Aku… aku surrender, Master,” suara Abang Man kedengaran perlahan dan serak. “Aku ingat cara aku trade agresif selama ni dah cukup hebat. Tapi bila tengok Nazz yang baru belajar sebulan boleh trade dengan tenang dan konsisten macam ni… aku sedar aku yang bodoh. Aku trade ikut nafsu, bukan ikut sistem.”
Secara tak sedar sebenarnya Abang Man sudah berada di fasa Desicion Distortion.
Abang Man memandang Nazz dengan penuh rasa hormat. “Nazz… nanti lepas trade kau ni hit TP, kau tolong ajarkan aku balik dari bawah macam mana nak tanda Order Block yang betul-betul padu. Aku nak buang semua indikator serabut dalam fon baru aku ni.”
Nazz menepuk bahu Abang Man perlahan. “Boleh, Abang Man. Kita belajar sama-sama. Yang penting Abang Man depositlah besar sikit. Modal kecik ni tak terasa sangat…”
Tiba-tiba, kedengaran bunyi ‘Ping!’ yang kuat dari komputer riba Nazz. Satu notifikasi hijau terpapar: TAKE PROFIT EXECUTED. Pasaran EURUSD melonjak tepat mengenai sasaran +90 pips. Nazz menutup komputer ribanya dengan tenang, lalu menulis nota terakhir di buku lognya: Ego membawa Margin Call. Disiplin membawa Konsistensi. hahaha…!!
“Saya ke tandas kejap ya, Master, Abang Man,” kata Nazz sambil tersenyum sebelum bangun dari kerusi.
Abang Man masih merenung meja dengan penuh keinsafan. Tiba-tiba, telefon pintarnya berbunyi—bukan notifikasi trading, tetapi satu reply e-mel rasmi daripada syarikat broker tempat dia mengalami Margin Call tempoh hari. E-mel itu menyatakan akaunnya telah margin call akibat widen spread ketika news yang ngam-ngam menghabisi semua margin akaun akibat posisi lot gajahnya sebelum harga reversal ke TP yang ditetapkannya.
Sementara itu, di dalam tandas, senyuman pada wajah Nazz tiba-tiba hilang dan menjadi serius. Dia mengeluarkan sebuah telefon pintar premium berspesifikasi tinggi yang disorokkan di dalam poket dalamnya—sebuah telefon yang tidak pernah ditunjukkan kepada Abang Man atau Master J sebelum ini.
Dia mendail satu nombor antarabangsa. Sebaik sahaja panggilan bersambung, nada suaranya bertukar sepenuhnya. Tiada lagi suara budak baru yang naif atau pelajar yang dahagakan ilmu, melainkan suara seorang pegawai korporat yang dingin dan tidak beremosi.
“Hello, Tuan. misi selesai dengan jayanya,” kata Nazz perlahan.
Di atas meja tadi, komputer riba Nazz yang ditinggalkan sebenarnya mempunyai satu tab tersembunyi di sebalik perisian TradingView—iaitu Admin Panel Backend Server bagi syarikat broker yang digunakan oleh Abang Man. Nazz sebenarnya bukanlah seorang retail trader naif yang baru belajar trade. Dia sebenarnya adalah seorang Risk Manager dan Data Analyst yang bekerja di bahagian teknikal sebuah firma brokerage B-Book (Market Maker).
“Dia masukkan lagi modal USD 500 semalam tuan, dan seperti yang dijangka, tabiat psikologinya tidak berubah. Dia tetap trade pakai emosi, FOMO, dan layer lot gajah pada kawasan minor SNR tanpa letak Stop Loss,” lapor Nazz kepada bossnya di talian.
Nazz membetulkan kolar kemeja putihnya yang kemas, tersenyum sinis melihat wajahnya di cermin.
“Saya hanya perlu mengakses sub-server akaun dia, meluaskan spread sebanyak beberapa pips, dan menghantar satu fake spike (manipulasi harga dalaman server) untuk mencetuskan Margin Call pada kedudukan lot gajahnya. Selepas akaunnya disapu bersih, harga pasaran sebenar kembali bergerak seperti biasa. Semua duit modal dia sudah selamat masuk ke dalam pool keuntungan syarikat kita. Dia langsung tak syak apa-apa tuan… dia ingat dia kalah sebab teknik dia yang salah. hahaha..!!”
Bossnya di talian kedengaran ketawa berpuas hati. “Bagus, Nazz. Bagaimana pula dengan peranan kau sebagai budak baru di hadapan mereka?”
“Semuanya berjalan lancar. Watak ‘Nazz yang berdisiplin’ ini telah membuatkan Abang Man tunduk ego. Dia menaruh kepercayaan 100% pada saya sekarang. Malah sebentar tadi, dia baru sahaja merayu untuk saya mengajarnya teknik order block. Pelan saya seterusnya ialah mengajak beliau yang meluaskan komuniti trader di bawahnya. Saya akan pastikan mereka buat deposit modal yang lebih besar atas dasar percaya kepada saya, selepas itu syarikat kita ‘menyembelih’ akaun mereka sekali lagi dalam fasa seterusnya. Lagipun apa risau, broker kita tidak juga mempunyai apa-apa lesen sah.”
“Kerja yang bagus, Nazz. Kekalkan prestasi kau, komisyen besar menanti kau nanti.” kata bossnya sebelum memutuskan talian.
Nazz menyimpan telefon premiumnya kembali ke dalam poket, menarik nafas sedalamnya, dan kembali mengukir senyuman cerianya yang kelihatan sangat naif di cermin.
Dia membuka pintu tandas dan berjalan semula ke meja. Di meja itu, Abang Man masih lagi meratapi nasib malangnya, langsung tidak menyedari bahawa musuh terbesar yang melesapkan wangnya selama ini bukanlah pergerakan candlestick pasaran, tetapi ‘sahabat’ yang sedang berjalan ke arahnya sambil tersenyum ceria dari belakang.
Next target, Master J pulak.

– TAMAT –
Penafian: Semua karakter dalam cerita ini adalah fiksyen dan hanyalah rekaan admin semata-mata dan tiada kena-mengena dengan sesiapa. Jika ada, ia hanyalah kebetulan sahaja.

